Knock Sensor adalah sensor getaran (vibration sensor) yang dipasang pada blok silinder untuk mengesan getaran berfrekuensi tinggi pada blok silinder yang terhasil ketika enjin mengalami knocking dan detonation yang disebabkan oleh pembakaran campuran udara dan bahanapi yang tidak normal di ruang pembakaran. Ketika enjin mengalami knocking atau detonation, getaran pada blok silinder akan turut mengetarkan knock sensor yang di pasang pada blok silinder dan knock sensor akan menghantar isyarat kepada Unit Kawalan Enjin (ECU) yang kemudiannya akan membuat pembetulan dengan melambatkan masa pencucuhan (retard ignition timing) secara berperingkat sehingga proses pembakaran di dalam silinder menjadi normal. Terdapat juga Unit Kawalan Enjin (ECU) yang membuat pembetulan dengan melambatkan masa pencucuhan (retard ignition timing) dan meningkatkan kadar suntikan bahan api untuk menormalkan proses pembakaran di dalam silinder.
Fungsi Knock Sensor
Knock Sensor Yang Digunakan Pada Enjin Automotif
Knocking dan detonation berlaku apabila campuran udara dan bahan api di nyalakan (ignited) terlalu awal sebelum sampai waktunya. Knocking dan detonation biasanya berlaku ketika accelerate dan ketika enjin beroperasi dengan beban yang tinggi. Kuasa yang di hasilkan oleh enjin akan menurun ketika enjin mengalami knocking dan detonation. Knocking dan detonation yang tinggi akan mengeluarkan bunyi "pinging atau rattling" yang akan menjadi semakin kuat dengan peningkatan tahap knocking dan detonation. Knocking dan detonation akan merosakan komponen dalaman enjin sekiranya enjin mengalami knocking dan detonation yang terlalu kuat ataupun dibiarkan beroperasi pada keadaan knocking dan detonation dalam jangkamasa yang lama. Kebiasannya knocking dan detonation yang kuat dan berterusan akan mengakibatkan kebocoran pada head gasket.
Kebocoran Pada Head Gasket Yang Disebabkan Oleh Knocking Dan Detonation
Knock Sensor membolehkan enjin yang mengunakan sistem kawalan eletronik untuk mengunakan penalaan yang optimum pada masa pencucuhan (ignition timing) dengan selamat. Masa pencucuhan adalah sentiasa pada tahap optimum dan sekiranya berlakunya knocking dan detonation, masa pencucuhan akan di lambatkan dengan berpandukan pada isyarat yang di hantar oleh Knock Sensor. Penalaan masa pencucuhan (ignition timing) yang optimum ini membolehkan enjin menghasilkan lebih kuasa dan pengunaan bahan api yang lebih efisyen (penjimatan pengunaan bahan api).
Struktur Dalaman Knock Sensor
Knock sensor adalah sensor yang mengunakan elemen piezoelectric yang menukar tenaga getaran kepada tenaga eletrik dimana sensor ini akan mengeluarkan arus eletrik dalam bentuk arus ulang-alik (AC current) apabila sensor di getarkan. Semakin kuat getaran pada sensor maka semakin tinggi arus dan frekunsi yang di hasilkan oleh sensor. Ini membolehkan Unit Kawalan Enjin (ECU) mengesan tahap knocking dan detonation pada enjin seterusnya membuat pembetulan dengan melambatkan masa pencucuhan (retard ignition timing) berpandukan kepada tahap detonation dan knocking pada enjin.
Piezo Effect Yang Menukarkan Tenaga Getaran Kepada Arus Elektrik
Sekiranya Knock Sensor tidak berfungsi atau rosak dan kerosakan tersebut dapat dikesan oleh ECU. Unit Kawalan Enjin (ECU) akan mengeluarkan amaran berupa Lampu Check Engine (CEL) dan enjin akan beroperasi pada mode selamat atau lebih dikenali sebagai Limp Mode. Pada mode selamat ini penghasilan kuasa kuasa enjin adalah rendah dan pengunaan bahan api turut meningkat. Ini adalah kerana pada mode selamat masa pencucuhan (ignition timing) adalah pada tahap yang selamat untuk enjin beroperasi dan bukan pada tahap optimum. Begitu juga dengan kadar suntikan bahan api adalah tinggi (rich mixture) yang bertujuan untuk melindungi enjin daripada knocking dan detonation. Terdapat juga Unit Kawalan Enjin (ECU) yang akan menghadkan kelajuan maksimum enjin pada kelajuan tertentu bagi melindungi enjin.