Penyebab Enjin Overheat

Enjin Overheat merujuk kepada suhu enjin dan suhu coolant atau cecair pendingin enjin yang terlalu tinggi daripada suhu normal enjin beroperasi. Enjin boleh dikatakan mengalami overheat apabila suhu coolant yang dipaparkan pada panel meter naik terlalu tinggi mencapai tahap merah. Bagi kenderaan yang tidak mempunyai meter suhu, amaran berupa lampu amaran suhu coolant terlalu tinggi akan menyala menandakan suhu coolant berada pada tahap yang tinggi (overheat).

Suhu Coolant Yang Yang Terlalu Tinggi (Overheat)
Suhu yang terlalu tinggi ini biasanya adalah di sebabkan oleh berbagai masalah atau kerosakan pada komponen sistem penyejukan enjin atau komponen enjin. Antara masalah utama yang biasanya menyebabkan enjin mengalami overheat adalah seperti berikut.

Kipas Radiator Tidak Berfungsi
Kipas radiator yang tidak berfungsi akan mengakibatkan suhu enjin meningkat dengan tinggi ketika kenderaan berhenti atau tidak bergerak atau ketika tersekat dalam kesesakan lalulintas. Ini adalah disebabkan tiada aliran udara pada sirip radiator bagi menyejukan coolant didalam radiator. Suhu akan menurun semula sekiranya kenderaan bergerak disebabkan oleh aliran udara pada sirip radiator yang akan menyejukan coolant ketika kenderaan bergerak. 

Kipas radiator tidak berfungsi di sebabkan oleh berberapa sebab antaranya adalah kerosakan pada motor kipas tersebut terutamanya berus karbon pada motor kipas telah haus. Selain itu masalah pada komponen lain juga boleh boleh menyebabkan motor kipas tidak berfungsi. Antaranya adalah masalah pada pendawaian litar motor kipas radiator,  fius terbakar atau putus, kerosakan pada geganti (Relay) dan kerosakan pada temperature switch atau temperature sensor.

 Radiator Tersumbat Atau Kotor 
Radiator tersumbat akan mengakibatkan aliran coolant tersekat yang mengakibatkan suhu coolant terus meningkat kerana coolant tidak dapat di sejukan oleh radiator melalui proses pemindahan haba. Kebiasannya setelah mencapai suhu yang ditetapkan untuk kipas radiator beroperasi, kipas radiator akan beroperasi secara berterusan namun suhu coolant terus meningkat sehingga mencapai tahap overheat.

Radiator biasanya tersumbat disebabkan oleh mendapan karat di dalam saluran radiator yang menyebabkan aliran coolant di dalam radiator tersekat. Selain itu, pembentukan karat pada saluran radiator juga akan mengurangkan tahap kecekapan radiator menyejukan coolant melalui proses pemindahan haba.

Selain itu, sirip radiator yang tersumbat akan menghalang aliran udara melalui sirip radiator dan mengakibatkan suhu coolant meningkat. Sirip radiator yang kotor akan mengurangkan tahap kecekapan radiator untuk menyejukan coolant dan boleh mengakibatkan peningkatan suhu coolant dan enjin. 

Kerosakan Pada Water Pump
Kerosakan pada water pump menyebabkan aliran coolant yang perlahan atau tiada aliran coolant pada sistem penyejukan enjin. Ini akan mengakibatkan suhu enjin dan coolant akan terus meningkat dan mencapai tahap overheat. Sekiranya water pump tidak berfungsi, suhu coolant pada bahagian radiator adalah jauh lebih rendah daripada suhu coolant pada bahagian enjin.

Kerosakan pada water pump kebiasanya disebabkan oleh impeller pada pam telah haus ataupun sambungan antara impeller dan shaft telah longgar menyebabkan impeller tidak diputarkan oleh shaft.

Kebocoran Coolant Atau Kekurangan Coolant
Kebocoran coolant menyebabkan coolant berkurangan atau tiada coolant pada saluran coolant mengakibatkan tiada aliran coolant untuk proses kitaran penyejukan enjin dimana tiada aliran coolant yang menyerap haba pada enjin dan di pindahkan ke udara melalui radiator mengakibatkan suhu enjin terus meningkat sehingga mencapai tahap overheat. 

Kebocoran coolant biasanya di sebabkan oleh kebocoran pada komponen utama sistem penyejukan. Antaranya adalah kebocoran pada mechanical seal water pump, kebocoran radiator, hose, water jacket core plug dan komponen lain. Sekiranya tiada kebocoran tetapi coolant sentiasa berkurangan atau cepat kering, ini biasanya disebabkan oleh kebocoran pada headgasket dimana gas dari dalam silinder memasuki saluran coolant. Selain itu, spring penutup radiator yang lemah atau tidak kedap juga boleh juga menjadi punca utama coolant cepat berkurangan dan kering. Di samping itu pengunaan air tanpa campuran coolant juga boleh mengakibatkan air radiator cepat berkurangan disebabkan oleh takat didih air adalah rendah berbanding dengan campuran air dan coolant.


Thermostat Tidak Berfungsi
Injap termostat yang tidak terbuka atau bukaan injap yang kecil akan menyebabkan aliran coolan tersekat dah hanya sedikit aliran coolant yang mengalir dalam kitaran penyejukan enjin. Aliran yang sedikit ini tidak cukup bagi mengekalkan suhu enjin pada tahap normal dan ia mengakibatkan suhu enjin terus meningkat sehingga ke tahap overheat. Sekiranya injap thermostat tidak terbuka suhu coolant pada bahagian radiator adalah jauh lebih rendah daripada suhu coolant pada bahagian enjin

Kerosakan pada thermostat yang biasa berlaku adalah thermostat tersekat atau pun bukaan injap thermostat yang terlalu kecil disebabkan kerosakan pada thermostat. Selain itu, antara faktor lain yang boleh menyebabkan thermostat tidak terbuka adalah di sebabkan oleh gelembung udara (air bubble) yang terperangkap di dalam perumah thermostat yang menyebabkan bahagian pengembangan pada thermostat kurang terdedah kepada coolant mengakibatkan thermostat tidak terbuka kerana bahagian pengembangan belum mencapai suhu untuk membuka injap thermostat walaupun suhu enjin telah mencapai tahap overheat. 

Pengumpulan gelembung udara ini biasanya disebabkan oleh kebocoran pada head gasket dimana gas daripada silinder memasuki saluran coolant dan berkumpul pada perumah thermostat. Selain itu sekiranya injap thermostat tidak terbuka selepas menukar coolant atau selepas coolant di keluarkan ini kebiasaannya disebabkan masih terdapat gelembung udara didalam saluran coolant  yang perlu dikeluakan melalui proses "air bleeding" atau "purging".

Kebocoran Pada Gasket Cylinder Head
Kebocoran pada cylinder head gasket kebiasaannya mengakibatkan gas daripada silinder memasuki saluran coolant yang mengakibatkan pembentukan gelembung udara pada aliran coolant. Gelembung udara pada aliran coolant akan mengangu proses penyejukan enjin dan mengakibatkan thermostat gagal berfungsi. Kebocoran pada head gasket mengakibatkan kemasukan gas daripada silinder ke dalam saluran coolant secara berterusan ketika enjin di hidupkan. Ini akan mengakibatkan tekanan di dalam saluran coolant meningkat. Peningkatan tekanan di dalam saluran coolant ini akan mengeluarkan coolant ke dalam tangki reservoir sehingga penuh dan kemudianya di salurkan keluar. Ini akan mengakibatkan kandungan coolant didalam saluran coolant berkurangan dan mengakibatkan peningkatan suhu sehingga ke tahap overheat.

Ketika enjin dihidupkan gelembung udara akan keluar secara berterusan dari radiator. Pada sesetengah enjin yang kedudukan thermostart agak rendah dari radiator apabila radiator cap dibuka enjin dapat beroperasi pada suhu yang normal selagi radiator cap dibiarkan terbuka tetapi sekiranya radiator cap ditutup suhu enjin dan coolant akan terus meningkat sehingga mencapai tahap overheat. 

Keretakan pada cylinder head menunjukan simptom yang sama dengan kebocoran pada headgasket namun keretakan pada cylinder head adalah jarang berlaku pada enjin petrol.

Gelembung Udara Pada Coolant
Gelembung udara pada coolant biasanya akan berkumpul pada perumah thermostst dan mengakibatkan thermostat tidak terbuka dan menyebabkan suhu enjin meningkat. Selain itu gelembung udara akan menyebabkan proses penyejukan coolant di dalam radiator berkurangan. Gelembung udara yang disebabkan oleh kebocoran head gasket akan mengakibatkan tekanan di dalam saluran coolant meningkat dan menyebabkan sistem penyejukan dipenuhi udara dan coolant akan keluar memenuhi tangki reservoir dan disalurkan keluar.

Gelembung udara biasanya disebabkan oleh udara yang terperangkap di dalam saluran coolant selepas proses menukar coolant atau selepas saluran coolant di kosongkan. Selepas mengganti coolant, gelembung udara perlu di keluarkan dengan melakukan proses bleeding atau purging. Sekiranya gelembung udara keluar secara berterusan pada radiator atau ketika melakukan bleeding atau purging ini bermaksud terdapat kebocoran pada head gasket.